Ayam dalam peradaban manusia Ayam

Dalam sejarah

Barangkali pemeliharaan ayam sudah sekian lama bertapak masyarakat Asia Tenggara kerana adanya perkataan untuk ayam (*manuk) dalam bahasa rekonstruksi Proto-Austronesia (rujuk rumpun bahasa Austronesia). Ayam di samping anjing dan babi merupakan haiwan bela jinak utama dalam kebudayaan Lapita,[50] iaitu kebudayaan Neolitik yang pertama di Oseania.[51]

Ayam disebarkan oleh kaum pelaut Polinesia lalu mencapai Pulau Easter pada abad ke-12 M di mana ayam merupakan satu-satunya haiwan bela jinak. Ayam ditempatkan di reban ayam batu-batan yang teramat kukuh yang mula-mula dilaporkan sedemikian kepada Linton Palmer pada tahun 1868, biarpun Palmer sendiri meluahkan keraguan.[52]

Gambaran ayam yang sulung di Eropah ditemui pada barang tembikar Corinth dari Yunani abad ke-7 SM.[53][54] Pujangga Cratinus (dari pertengahan abad ke-5 SM, menurut pengarang Yunani Athenaeus) menggelar ayam "penggera Parsi". Dalam karya seloroh Aristophanes yang berjudul Burung-burung (414 SM), ayam bergelar "burung Medes" (sebuah kerajaan purba dekat Parsi), iaitu menandakan pengenalan ayam dari timur. Gambar-gambar ayam terdapat pada barang tembikar Yunani purba.

Dalam agama, mitos dan budaya rakyat

Sejak dahulu kala hingga sekarang, ayam diangkat sebagai haiwan suci dalam sesetengah budaya,[55] malah dimantapkan lagi dalam sistem kepercayaan dan pemujaan keagamaan. Orang Yunani setelah bertembung dengan Parsi menggelar ayam jantan sebagai "burung Parsi" atas "keunggulan dan kegunaan keagamaan di kalangan bangsa Parsi".[56]

Sesungguhnya ayam sebati dalam budaya masyarakat Melayu dan Nusantara, bukan sahaja sebagai haiwan ternakan bahkan juga sebagai watak cerita teladan, terutamanya kisah dongeng ayam dengan helang yang mana ayam meminjam jarum emas daripada helang semata-mata untuk mendapat kebolehan terbang seperti helang, tetapi tidak menjaga jarum dengan baik sehingga menyebabkan helang mengugut untuk memakan ayam dan keturunannya selagi jarumnya tidak dijumpai, dan oleh itulah ayam sering mengais-ngais tanah, kononnya untuk mencari jarum emas sampai dapat.[57]

Menurut kitab Perjanjian Baru, Jesus meramalkan penderhakaan oleh Petrus: "Tetapi dia berkata, 'Petrus, aku berkata kepadamu: Sebelum ayam jantan berkokok hari ini, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.'"[58] Sesungguhnya demikian,[59] maka Petrus menangis dengan kesal. Oleh itu ayam jantan dijadikan lambang kewaspadaan dan penderhakaan.

Sebelum itu, Jesus membandingkan dirinya dengan ibu ayam ketika berbincang tentang Baitulmuqaddis: "Yerusalem, Yerusalem, kamu membunuh para nabi dan merejam orang yang diutus kepada kamu. Sudah banyak kali aku ingin mengumpulkan anak-anak kamu sepertimana seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya! Tetapi kamu semua tidak mahu."[60]

Pada abad keenam, Paus Gregory I mengisytiharkan ayam jantan sebagai lambang agama Kristian,[61] disusuli pula oleh satu lagi enakmen pada abad ke-9 oleh Paus Nicholas I[55] yang memerintahkan patung ayam terletak di setiap menara gereja.[62]

Ayam merupakan salah satu daripada 12 bintang zodiak dalam kalendar Cina. Dalam agama rakyat Cina, ayam masak sebagai sembahan keagamaan terhad kepada upacara penghormatan untuk nenek moyang dan juga memuja dewa-dewi kampung.

Sebagai haiwan kesayangan

Sesetengah orang membela ayam sebagai haiwan kesayangan untuk tujuan hiburan dan pendidikan.[63] Ayam boleh dijinakkan dengan suap tangan, tetapi ayam jantan kadangkala garang lagi bising dan perlu ditangani dengan cermat. Bahkan juga disaran agar dijauhkan ayam jantan daripada kanak-kanak. Sesetengah baka seperti ayam sutera dan ayam katik lazimnya jinak dan sering dijadikan saranan untuk haiwan kesayangan keluarga.[64]

Sebagai makanan

Rencana utama: Daging ayam
Ayam goreng

Disebabkan kos pengeluaran yang rendah, daging ayam adalah antara daging yang paling digunakan di dunia. Hampir kesemua anggota badan ayam boleh digunakan untuk makanan, apatah lagi dagingnya boleh dimasak dengan pelbagai cara. Antara hidangan ayam yang terkenal ialah ayam panggang, ayam goreng, sup ayam, ayam tanduri, dan nasi ayam. Daging ayam juga lazim dihidangkan di kedai makanan segera.

Telur

Rencana utama: Telur (makanan)

Pada tahun 2000, terdapat 50.4 juta tan telur yang dikeluarkan di dunia (Executive guide to world poultry trends, 2001)[65] dan kira-kira 53.4 juta tan telur meja dihasilkan pada tahun 2002.[66] Pada tahun 2009, kira-kira 62.1 juta tan metrik telur dihasilkan di seluruh dunia daripada sebanyak 6.4 bilion ayam telur.[67]

Telur ayam lazim digunakan dalam pelbagai jenis hidangan. Telur boleh dimasak secara hancur, goreng, rebus keras, rebus lembut, rebus carak dan jeruk. Putih telur atau albumen mengandungi protein tetapi kurang atau tiada lemak, bahkan boleh dimasak berasingan daripada kuning telur. Ada kalanya kulit telur kisar digunakan sebagai bahan tambahan makanan untuk menambah kalsium. Ayam betina tidak memerlukan ayam jantan untuk mengeluarkan telur, tetapi hanya untuk menyuburkan telur. Maka kawanan ayam betina sahaja masih bertelur tetapi semua telurnya mandul.

Dalam sukan

Menyabung ayam adalah sejenis sukan purbakala yang terdapat di pelbagai negara seluruh dunia sepanjang zaman, apatah lagi masih diamalkan zaman sekarang terutamanya di kawasan kampung, melibatkan pertarungan sesama dua ayam jantan yang diperlagakan oleh manusia untuk mengisi masa lapang atau sebagai upacara adat, antara lainnya. Sukan menyabung ayam semakin berkurangan dewasa ini ekoran pengharaman oleh undang-undang atas alasan melindungi haiwan daripada penderaan dan kekejaman manusia.